Sabtu, 05 April 2008

Upacara Penganugrahan


Jawatankuasa-jawatankuasa dan institusi-institusi yang berperanan sebagai lembaga pemilihan untuk penghadiahan lazimnya mengumumkan nama-nama penerimanya pada bulan Oktober. Hadiah-hadiah ini dikurniakan di upacara rasmi yang diadakan pada 10 Disember setiap tahun, iaitu ulang tahun kematian Alfred Nobel.

Upacara hadiah keamanan diadakan di Institut Nobel Norway sejak tahun 1905 hingga 1946, kemudiannya di Aula Universiti Oslo, dan kini di Dewan Bandaraya Oslo sejak tahun 1990. Upacara hadiah lain pula diadakan di Dewan Konsert Stockholm sejak tahun 2005.

Setiap anugerah boleh dikurniakan kepada tidak lebih daripada tiga penerima setiap tahun. Setiap hadiah mengandungi sebutir pingat emas, diploma, dan sejumlah wang. Hadiah wangnya pada masa kini bernilai 10 juta krona Sweden (bersamaan dengan sedikit lebih sejuta euro atau kira-kira 1.3 juta dolar Amerika Syarikat). Asalnya, ini dimaksudkan untuk membolehkan para penerima untuk menyambungkan kerja-kerja atau kajian merkea tanpa tekanan pembiayaan. Sebenarnya, kebanyakan pemenanng sudah bersara sebelum meraih hadiah mereka. Jika terdapat dua pemenang dalam satu kategori, maka hadiah wang itu dibahagikan sama rata untuk dikongsi kedua-dua mereka. Jika terdapat tiga pemenang pula, suruhanjaya penganugerahan boleh memutuskan sama ada untuk membahagikan wang itu sama rata untuk ketiga-tiga mereka, atau mengurinakan separuh wang itu kepada seorang pemenang dan separuh yang lain dikongsi sama rata oleh dua pemenang lain itu. Para penerima juga sering menderma wang hadiah mereka untuk tujuan saintifik, kebudayaan atau kemanusiaan.

Sejak tahun 1902, Raja Sweden sentiasa mengurniakan hadiah-hadiah Nobel secara rasmi, kecuali Hadiah Keamanan Nobel, di Stockholm. Raja Oscar II mula-mulanya tidak berkenan dengan pemberian hadiah kebesaran kebangsaan kepada warga asing, tetapi adalah dikatakan bahawa pendirian baginda berubah setelah menyedari nilai publisiti hadiah-hadiah ini kepada negara.

Hadiah Keamanan Nobel pertama dianugerahkan pada tahun 1901, oleh Presiden Parlimen Norway sehingga Jawatankuasa Nobel Norway ditubuhkan pada tahun 1904. Lima ahli jawatankuasa ini dilantik oleh Parlimen Norway (Stortinget), dan diamanahkan dengan kerja penyediaan yang berkaitan dengan hadiah berkenaan dan penganugerahan Hadiah Keamanan Nobel. Ahli-ahlinya bebas dalam menjalankan tugas mereka dan tidak menjawab kepada penggubal undang-undang. Ahli-ahli kerajaan Norway tidak dibenarkan menyertai kegiatan jawatankuasa ini.

Tidak ada komentar:

Iklan

Advertising